Lebuhraya ?


Lebuhraya merujuk kepada sistem rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan beberapa buah lokasi penting seperti Bandar utama. Lembaga Lebuhraya Malaysia akan memantau dan mengawasi pembinaan lebuhraya yang dilakukan oleh konsesi syarikat swasta. Kesemua lebuhraya di Malaysia menjalankan dua kaedah pembayaran tol iaitu dengan menggunakan sistem terbuka dan sistem tertutup. Kadar tol melalui sistem terbuka adalah pada kadar yang telah ditetapkan manakala di dalam sistem tertutup pula kadar yang perlu dibayar berdasarkan kepada jarak perjalanan. Kadar bayaran tol untuk beberapa lebuhraya telah dinaikkan, dikuatkuasakan pada 15 oktober 2015 dengan kenaikan kadar melebihi 17% sehingga 80%. Antara lebuhraya yang terlibat adalah Duta Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang (SILK), Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur (KLK), Lebuhraya Latar dan lain – lain. Kebanyakan lebuhraya yang dinaikkan kadar tol terletak didalam Lembah Klang dan Kuala Lumpur.



Dengan kenaikan kadar tol ini akan mendatangkan kesan kepada penduduk Malaysia, Antaranya :

  • Kehidupan golongan berpendapatan sederhana menjadi semakin sukar. Ini berlaku atas sebab kuasa beli yang dimiliki oleh golongan ini semakin berkurangan dan secara langsung pendapatan mereka juga menjadi berkurangan. Apabila kadar tol dinaikkan, ia akan meningkatkan kos perbelanjaan harian mereka untuk ke tempat kerja ataupun kemana sahaja dan ini akan membebankan mereka kerana pendapatan mereka pada asalnya hanya cukup makan menjadi tidak cukup kerana membayar tol yang tinggi.
  • Sosioekonomi yang terjejas akibat daripada tindakan beberapa peniaga yang mengeksploitasi pengguna dengan mengambil keuntungan berlebihan. Para peniaga, pembekal dan pengeluar akan menggunakan kesempatan yang ada untuk menaikkan harga barangan yang dijual atas alasan kos pengeluaran yang semakin mahal ekoran peningkatan kadar tol. Pengguna akan menjadi mangsa keadaan apabila pengeluar dan peruncit tidak mahu menanggung bebanan kadar tol yang tinggi. Walaubagaimana wujudnya peniaga yang menaikkan harga barangan dengan sewenang – wenangnya dengan sesuka hati tanpa melihat harga kos yang sebenar. Situasi ini akan membawa kesan negatif kepada sosioekonomi dan menghalang proses untuk memajukan ekonomi Negara.
  • Secara umumnya, apabila kadar tol dinaikkan maka kos untuk pengangkutan juga akan meningkat. Ini menjadi faktor utama kenaikan harga barangan didalam pasaran terutamanya harga barang makanan. Ini kerana bahan makanan tidak kira sama ada dalam bentuk mentah, separa proses ataupun sudah siap diproses perlu diangkut daripada tempat pemprosesan atau pengeluaran untuk dihantar ke tempat untuk dipasarkan. Segala kos untuk pemprosesan dan pengangkutan akan ditanggung oleh pengguna. Walaupun kerajaan boleh campur tangan dengan mengumumkan Dasar Kawalan Harga namun sejauh mana keberkesanan dasar ini. Secara jelas bahawa pengguna lebih gemar untuk memandu kenderaan sendiri berbanding menaiki pengangkutan awam kerana pengangkutan awam yang disediakan masih tidak dapat memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh pengguna. Tidak adil untuk kita dibandingkan dengan negara lain untuk menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam. Contohnya, sistem pengangkutan awam yang wujud di Singapura lebih cekap dan lengkap secara langsung menggalakkan pengguna menggunakannya.
Kesimpulannya,

Peningkatan kadar tol lebuhraya akan menggangu ekonomi, sosial dan politik di Malaysia. Dimana ia mungkin akan mengancam ketenteraman dan keharmonian Negara. Oleh itu, semua pihak perlu mengambil peranan dalam mengatasi isu kenaikan kadar tol yang seterusnya memberikan kesan  kepada kenaikan kos hidup secara langsung.



Rumah ?


Rumah merupakan keperluan asasi manusia kerana menjadi tempat berlindung dan membina kebahagiaan keluarga, sejajar dengan slogan “Rumahku Syurgaku”. Namun demikian, masih terdapat sesetengah rakyat Malaysia yang tidak memiliki rumah sendiri kerana pelbagai faktor. Antaranya ialah kemiskinan, harga rumah yang terlalu mahal dan peningkatan kos hidup.

Usaha dalam memastikan rakyat mampu untuk memiliki rumah sendiri.

  • Memperbanyakkan pembangunan kawasan perumahan kos rendah di kawasan bandar. Kawasan Bandar merupakan kawasan tumpuan penduduk kerana wujudnya infrastruktur dan fasiliti yang lengkap. Disamping itu, penawaran peluang pekerjaan yang meluas menjadi salah satu faktor penduduk daripada luar Bandar berhijrah ke Bandar. Oleh demikian, pemaju perumahan perlu memperbanyakkan pembangunan kawasan perumahan kos rendah di kawasan Bandar sejajar permintaan yang tinggi dikalangan penduduk yang tidak mempunyai kemampuan untuk memiliki rumah sendiri. Dengan ini penduduk bandar mampu membeli rumah berdasarkan kemampuan mereka.
  • Masalah utama dalam memiliki rumah sendiri adalah kemampuan kewangan. Pada masa kini harga rumah yang semakin mahal menyukarkan penduduk yang berpendapatan sederhana mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan. Pihak institusi kewangan perlu menyediakan pinjaman yang mempunyai syarat yang tidak terlalu ketat. Dengan memberikan pinjaman tanpa kaedah kepada golongan kurang berkemampuan  membolehkan mereka memiliki rumah sendiri. Tanpa kadar faedah membolehkan peminjam membuat bayaran bulanan kepada pihak institusi kewangan tanpa membebankan peminjam.
  • Kerajaan juga telah memperkenalkan Program Perumahan 1 Malayia. Dengan membanyakkan pembinaan rumah di bawah Program Perumahan 1 Malaysia dapat mengurangkan jumlah penduduk yang tidak memiliki rumah sendiri. Kerajaan atas dasar prihatin membina rumah untuk golongan kelainan upaya dan ibu tunggal.



Kesimpulannya, semua pihak terutama syarikat swasta dan pemaju perumahan harus lebih prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik dengan membina lebih banyak rumah kos rendah. Ia dikategorikan sebahagian daripada menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.


Pengangguran?


Istilah pengangguran digunakan apabila seseorang yang boleh bekerja dan mahu bekerja tetapi tidak dapat untuk menceburkan diri ke dalam bidang pekerjaan. Dalam masyarakat, mereka perlu bekerja untuk mencari nafkah untuk menyara kehidupan diri dan keluarga. Oleh itu, masalah pengangguran merupakan masalah yang perlu dipandang serius. Kadar pengangguran didalam sesebuah Negara dapat menunjukkan sejauh mana kecekapan penggunaan sumber tenaga yang ada dalam sesebuah Negara dan ia juga digunakan sebagai indeks dalam aktiviti ekonomi.

Antara faktor yang mempengaruhi kadar pengangguran di Malaysia :
  • Sikap graduan yang terlalu memilih pekerjaan. Graduan yang ada pada masa kini lebih memilih untuk bekerja dalam pejabat yang berhawa dingin berbanding bekerja di ladang ternakan.
  • Prestasi atau kelayakan graduan yang terlalu tinggi berbanding jawatan yang ditawarkan dalam pasaran kerja. Contohnya, untuk memenuhi jawatan juruteknik hanya memerlukan kelulusan di peringkat sijil sahaja tetapi kebanyakan calon yang hadir dalam temuduga adalah dikalangan pemegang diploma dan ijazah. Seandainya mereka diterima untuk bekerja, akan menimbulkan isu mengenai kadar pembayaran gaji yang diberikan dianggap tidak sesuai jika dibandingkan dengan kelulusan graduan tersebut.
  • Percambahan pusat pengajian tinggi sama ada swasta dan kerajaan yang menawarkan program pada peringkat sijil, diploma dan ijazah. Selain itu, syarat untuk pengambilan pada masa kini adalah jauh lebih mudah jika dibandingkan dengan syarat pengambilan 15 tahun lalu. Ini membolehkan mereka yang lepasan Sijil Penilaian Malaysia (SPM) mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sijil, diploma dan ijazah. Perkara yang hanya membezakan mereka adalah sama ada mereka daripada Universiti awam atau swasta. Ini akan menyebabkan berlakunya lambakan graduan yang akan masuk ke dalam pasaran kerja dimana peluang pekerjaan yang wujud dalam pasaran adalah terhad.
  • Pihak majikan yang mahu mengurangkan kos perbelanjaan. Ia merujuk kepada kes pengangguran yang berlaku kepada pemegang ijazah sarjana atau master. Mereka yang dahulunya telah mendapat pekerjaan telah berhenti kerana ingin menukar kepada bidang pekerjaan yang lebih baik tetapi telah menganggur kerana mereka mempunyai kelulusan yang tinggi dan berpengalaman. Oleh itu, mereka mengharapkan ganjaran gaji yang lebih tinggi. Ini menyebabkan mereka tidak diambil bekerja kerana majikan lebih merujuk untuk mengambil graduan baru kerana gaji yang perlu dibayar kepada mereka jauh lebih rendah. Dengan ini majikan dapat menjimatkan kos.


Pengangguran yang berlaku didalam Negara akan memberikan kesan yang negatif kepada ekonomi Negara antaranya :

  •  Penurunan keluaran Negara. Ini berlaku apabila tenaga manusia yang dimiliki tidak digunakan sepenuhnya dalam beberapa sector ekonomi menyebabkan pengeluaran dalam sektor tersebut berkurangan seterusnya akan mengakibatkan keluaran Negara berkurangan.
  • Taraf hidup penduduk yang menurun. Taraf hidup penduduk di dalam sesebuah Negara dapat diukur berdasarkan kepada pendapatan per kapita. Apabila wujudnya ramai tenaga buruh yang menganggur menyebabkan keluaran Negara kasar berkurangan dan ini akan menjejaskan pendapatan per kapita Negara. Pendapatan per kapita yang rendah menunjukkan bahawa taraf hidup penduduk Negara tersebut pada tahap yang rendah.
  • Pembangunan Negara menjadi perlahan. Ini terjadi apabila infrastruktur didalam sesebuah Negara tidak dapat dibangunkan untuk tujuan pembangunan Negara kerana pendapatan Negara yang tidak mencukupi untuk dibelanjakan kearah pembangunan infrastruktur .



Kesimpulannya,

Semua pihak perlu bekerjasama dalam mengatasi masalah ini. Ini kerana masalah pengangguran  merupakan masalah yang serius dan ia mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi sesebuah Negara. Graduan perlu dilatih untuk menceburkan diri ke dalam bidang keusahawanan dan diberikan kemudahan pinjaman dengan kadar faedah yang berpatutan. Dengan ini dapat meransang graduan untuk menjadi seorang usahawan berjaya dan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam pasaran.



Kesan Jerebu Yang Bahaya Kepada Kesihatan

Jerebu merupakan satu fenomena di mana habuk, asap, dan zarah-zarah kering yang lain terkumpul di ruangan udara yang akan memberi kesan kepada penglihatan menjadi kurang jelas dan jarak penglihatan yang semakin kabur. Ini berlaku apabila keadaan sekeliling yang menghalang bahan pencemaran ini daripada disebarkan secara meluas ke ruang udara. Keadaan ketika fenomena jerebu ini berlaku apabila bahan pencemaran ini bertumpu kepada sesuatu kawasan sahaja dan ini secara umumnya mengakibatkan gangguan kepada penglihatan dan juga boleh menjadi satu ancaman kesihatan terutamanya kesihatan dalam sistem pernafasan. Secara umumnya, jerebu boleh berwarna coklat atau biru dan bergantung kepada saiz zarah yang wujud dalam ruangan udara, jerebu tidak selalunya boleh dilihat dengan mata kasar. Namun apabila keadaan jerebu yang sangat teruk dapat dilihat dengan jelas dengan mata kasar.

Disini kami akan berkongsi tentang bahaya jerebu kepada kesihatan supaya anda lebih berhati hati melakukan aktiviti luar rumah dan bagaimana langkah-langkah yang patut dilakukan apabila fenomena jerebu ini semakin teruk. Apabila kawasan anda disahkan mengalami fenomena jerebu, maka anda menggunakan media massa untuk mengikuti perkembangan semasa mengenai tahap jerebu semasa di tempat anda supaya memudahkan anda dalam mengambil langkah - langkah pencegahan awal daripada sebarang bahaya.


Fenomena jerebu yang berterusan boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, mereka yang mempunyai penyakit seperti asma, bronchitis, radang paru-paru, jantung, alahan.

Antara tanda-tanda awal yang dapat dilihat apabila terdedah secara berterusan kepada jerebu ialah mulai terasa gatal-gatal dibahagian tekak dan batuk-batuk, terasa sukar untuk bernafas dengan normal, mata terasa tidak selesa kerana pedih dan berair, kulit terasa gatal tidak selesa dan dada terasa sakit.


Antara kaedah dalam mengatasi masalah ini antaranya :

  1. Mereka hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik.
  2. Mereka perlu mengambil ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor jika mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi.
  3. Mereka yang perlu bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang terdedah kepada habuk dan juga mereka yang dikategorikan didalam kumpulan berisiko tinggi perlu sentiasa memakai penutup hidung dan mulut ( mask).
  4. Orang ramai dinasihatkan tidak keluar daripada bangunan atau rumah jika tidak mempunyai urusan penting.
  5. Mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah seperti bersukan.
  6. Sentiasa membasahkan muka dan bahagian kulit yang terbuka kepada jerebu dengan air bersih.
  7. Ketika menaiki kenderaan, dinasihatkan untuk menggunakan kemudahan hawa dingin.
  8. Orang ramai dinasihatkan supaya perbanyakkan minum air ( sekurang-kurangnya 8 gelas sehari).

KESIMPULANNYA...

                Fenomena jerebu yang berlaku kini, memberikan kesan yang tidak sihat kepada tubuh badan manusia. Oleh itu, langkah pencegahan perlu diambil dalam memastikan kesihatan sentiasa dilindungi dan terjaga. Dinasihatkan kepada orang ramai yang mempunyai tanda-tanda awal kesihatan terjejas akibat daripada jerebu untuk merujuk doktor pakar di pusat kesihatan yang berhampiran.

                Full-Metal-Alchemist