Kesan Jerebu Yang Bahaya Kepada
Kesihatan
Jerebu merupakan satu
fenomena di mana habuk, asap, dan zarah-zarah kering yang lain terkumpul di
ruangan udara yang akan memberi kesan kepada penglihatan menjadi kurang jelas
dan jarak penglihatan yang semakin kabur. Ini berlaku apabila keadaan
sekeliling yang menghalang bahan pencemaran ini daripada disebarkan secara
meluas ke ruang udara. Keadaan ketika fenomena jerebu ini berlaku apabila bahan
pencemaran ini bertumpu kepada sesuatu kawasan sahaja dan ini secara umumnya
mengakibatkan gangguan kepada penglihatan dan juga boleh menjadi satu ancaman
kesihatan terutamanya kesihatan dalam sistem pernafasan. Secara umumnya, jerebu
boleh berwarna coklat atau biru dan bergantung kepada saiz zarah yang wujud
dalam ruangan udara, jerebu tidak selalunya boleh dilihat dengan mata kasar.
Namun apabila keadaan jerebu yang sangat teruk dapat dilihat dengan jelas
dengan mata kasar.
Disini kami akan berkongsi
tentang bahaya jerebu kepada kesihatan supaya anda lebih berhati hati melakukan
aktiviti luar rumah dan bagaimana langkah-langkah yang patut dilakukan apabila
fenomena jerebu ini semakin teruk. Apabila kawasan anda disahkan mengalami
fenomena jerebu, maka anda menggunakan media massa untuk mengikuti perkembangan
semasa mengenai tahap jerebu semasa di tempat anda supaya memudahkan anda dalam
mengambil langkah - langkah pencegahan awal daripada sebarang bahaya.
Fenomena jerebu yang berterusan
boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang terutama golongan yang
berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, mereka yang mempunyai penyakit
seperti asma, bronchitis, radang paru-paru, jantung, alahan.
Antara tanda-tanda awal
yang dapat dilihat apabila terdedah secara berterusan kepada jerebu ialah mulai
terasa gatal-gatal dibahagian tekak dan batuk-batuk, terasa sukar untuk
bernafas dengan normal, mata terasa tidak selesa kerana pedih dan berair, kulit
terasa gatal tidak selesa dan dada terasa sakit.
Antara kaedah dalam
mengatasi masalah ini antaranya :
- Mereka hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik.
- Mereka perlu mengambil ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor jika mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi.
- Mereka yang perlu bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang terdedah kepada habuk dan juga mereka yang dikategorikan didalam kumpulan berisiko tinggi perlu sentiasa memakai penutup hidung dan mulut ( mask).
- Orang ramai dinasihatkan tidak keluar daripada bangunan atau rumah jika tidak mempunyai urusan penting.
- Mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah seperti bersukan.
- Sentiasa membasahkan muka dan bahagian kulit yang terbuka kepada jerebu dengan air bersih.
- Ketika menaiki kenderaan, dinasihatkan untuk menggunakan kemudahan hawa dingin.
- Orang ramai dinasihatkan supaya perbanyakkan minum air ( sekurang-kurangnya 8 gelas sehari).
Fenomena jerebu yang berlaku kini, memberikan kesan yang tidak sihat kepada tubuh badan manusia. Oleh itu, langkah pencegahan perlu diambil dalam memastikan kesihatan sentiasa dilindungi dan terjaga. Dinasihatkan kepada orang ramai yang mempunyai tanda-tanda awal kesihatan terjejas akibat daripada jerebu untuk merujuk doktor pakar di pusat kesihatan yang berhampiran.